Saturday, November 5, 2011

Hari konsert kanak-kanak tadika

Pada hujung-hujung hari persekolahan semestinya setiap pusat kanak-kanak akan berkumpul bersama-sama keluarga kanak-kanak bagi meraikan kejayaan anak-anak kita selepas setahun berlakunya pembelajaran untuk mereka samaada bagi persediaan menghadapi persekolahan sebenar atau peringkat pendedahan pembelajaran. Sama ada ia dipanggil hari konvokesyen, konsert, kreativiti atau apa-apa nama yang dirasa sesuai.

Pada peringkat umur ini kanak-kanak umpama span, meresapi apa yg dilihat dan didengar dan akan melemparkannya kembali dalam bentuk apa yg mereka faham.

Inilah yang dipanggil peringkat “Perkembangan awal kanak-kanak” Peringkat ini adalah peringkat yang penting dalam pembinaan sahsiah diri kanak-kanak tersebut. Sebenarnya dari sini kita boleh lihat, siapa anak kita itu bila ia dewasa nanti. Oleh itu asuhan yang tepat kena pada sasarannya akan memberi kesan kepada personality kanak-kanak tersebut.

Bermula dengan perkembangan sensori motor, menurut teori Piaget, beralih kepada perkembangan, praoperasi. Perkembangan Pra operasi, iaitu antara umur dua hingga tujuh tahun. Pada peringkat ini kanak2 telah boleh menggunakan symbol mewakili objek, contohnya, kotak boleh dijadikan kereta. Mereka boleh melibatkan diri dalam aktiviti penyelesaian permasalahan. Ketika ini pemikiran mereka telah kurang dibatasi oleh keegoannya. Walaubagaimanapun mereka masih ditahap yg rendah, bermakna masih perlu bimbingan dari orang dewasa, tapi biarlah orang dewasa yang waras.

Disinilah perlunya pendidikan pra-formal ini ditanamkan kedalam diri kanak-kanak. Lebih ditekankan disini ialah pendidikan Pra-sekolah atau tadika atau tabika. Peringkat ini bertujuan memperkembangankan potensi kanak2 dari umur empat tahun hingga enam tahun, secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social (JERI) melalui persekitaran pembelajaran yg selamat, menyuburkan serta aktiviti yg menyeronokkan, kreatif dan bermakna.

Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yg positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah khasnya dimasa hadapan, amnya.

Objektif hari kovokesyen, konsert atau hari kreativiti ini diadakan, adalah untuk ibubapa melihat potensi anak-kanak mereka, bukan dari segi seninya sahaja, tetapi kepada perkembangan menyeluruh anak-kanak tersebut. Kejayaan anak-kanak ini mempersembahkan persembahan mereka, menunjukkan kesepaduan antara kognitif / pemikiran mereka, motor halus dan kasar, imejinasi dan social serta emosi mereka.

Bagi pandangan saya, yang penting sekali ialah yang terakhir itu, iaitu emosi kanak-kanak tersebut. Sekiranya mereka riang, pembelajaran mudah disampaikan, dan sebaliknya. Emosi sangat memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Gembirakan lah mereka.

Pada saya kanak-kanak yang gembira akan dapat mencerminkan masa depan sesebuah negara, kerana, kanak-kanak hari ini adalah masyarakat masa hadapan negara kita yang tercinta. Berilah mereka kasih sayang yang sebenarnya kepada mereka.

Walaubagaimanapun janganlah lupa, mengucap jutaan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pengasuh-pengasuh, guru-guru yang telah memdidik dan membimbing, anak-anak kita. Ucaplah terima kasih juga kepada diri kita sendiri yang bersama-sama membesarkan anak-anak agar menjadi orang yang berguna.


Wednesday, September 7, 2011

Ramadhan.

Ramadhan telah seminggu meninggalkan Shawal. Shawal pula masih dalam bersukaria. Tertanya pada diriku, apakah yang telah ku ambil dari Ramadhan yang telah berlalu? Adakah aku telah menfaatkan Ramadhan seperti yang dituntut? Berkesankah Ramadhan yang telah pergi itu kepada aku?

Ya Allah, hanya kau yang mengetahui dan berilah hidayah mu pada ku, amin.

Wednesday, April 13, 2011

Masa...



Lama tak mengarang disini, bukan kerana ketandusan idea, tetapi ketandusan masa.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
1. Demi masa.
2. Sungguh, manusia berada dalam kerugian,
3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Surah ke 103, Al -'Asr)

Hidup terlalu singkat, tak sempat untuk kita memenuhi segala kehendak dan impian.
Walaupun usia melebihi setengah abad, namun masih banyak yang perlu dipelajari dan dikejari.
Sempatkah aku????



Saturday, September 18, 2010

Selepas 53 tahun.... aku tak tahu....


Bismillahirahmanirahim.
ALLAAHUMA THAWIL AA'MAARANAA WASSAHHIH AJSAADANAA WANAWWIR QULUUBANAA' WATSAB-BIT IIMAANANAA
WA AHSIN A'MAALANAA WAW ASSI'ARZAAQANAA WA ILAL KHAJRI QARIBNAA WA'ANISY SYARRI AB'IDNA WAQDHI HA WAA IJANAA FIDDIINI WADDUN-YAA WAL AAKHIRAH, INNAKA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR.

Ya Allah, panjangkanlah umur kami, sehatkanlah badan kami, terangilah hati kami, tetapkanlah iman kami, perbaikkanlah amal kami, luaskanlah rezeki kami, dekatkanlah kami kepada kebaikan dan jauhkanlah kami dari kejahatan, tunaikanlah hajat kami, baik hajat dalam agama, dunia, dan akhirat. Sesungguhnya Engkau maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Amin.....

Amin, amin, amin yarabbalalamin.

Rasanya masih tidak terlambat aku mengucapkan ‘SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF DZAHIR DAN BATIN’ kepada semua muslimin dan muslimat pada Syawal tahun 1431H.
Sempena Syawal tahun ini, masyarakat Malaysia masih dalam mood raya, pada 9 Syawal 1431H, genaplah umurku 53 tahun, seusia Malaysia Merdeka!!. Tidak terlambat juga ku ucapkan Merdeka! Merdeka! Merdeka!!. 1 Malaysia, masyarakat juga masih hangat meraikan penubuhan Malaysia. Eeee, banyak event.
Walau apa pun, aku bersyukur kehadrat Ilahi, kerana memanjangkan umur ku hingga kehari ini, 18hb, September, 2010. Terima kasih yang tak terhingga dari lubuk hatiku untuk ibuku, Siti Habsah dan ayah ku, Sulong Awang (arwah) kerana melahirkan aku ke dunia yang penuh dugaan ini. Alhamdulillah, walaupun tidak kaya, tapi aku dapat hidup di dunia ini dengan harmoni, segala dugaan menjadi pengalaman yang tinggi nilainya, yang menjadikan aku lebih tabah dan merasa aku masih serba kerdil dihadapan Mu, ya Allah. Ku memohon restu dari ayah dan ibu, agar Allah memberkati hidupku seterusnya, amin…
Terima kasih juga kepada suami dan anak-anakku, dimana, kamu semualah harta yang aku ada untuk bekalan ku di dunia dan juga akhirat, kebahagian yang tidak ternilai adalah dari rumah yang harmoni, agar Allah sentiasa melimpahkan rahmahnya kepada penghuninya semua, amin….
Kepada adik beradikku, kaum keluarga semua, terima kasih atas sokongan semua. Apa yang penting adalah keihklasan yang kita beri akan dibalas oleh Allah kebahagian buat kita semua, amin….
Kepada kawan-kawan, kenalan, rakan seperjuangan, ibubapa kepada anak-anak jagaan saya, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas nasihat, sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Apa yang saya lakukan hanyalah untuk bantu membantu antara satu sama lain kerana antara kita perlu antara satu sama lain bagi melengkapkan kehidupan ini. Terima kasih juga atas ucapan yang diberi agar kamu semua semua juga dirahmati oleh Nya.
Amin, amin, amin yarobbila’lamin.

Sunday, July 18, 2010

Peperiksaan!!!

Bagaimana untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan ??????
Terdapat berbagai bentuk iklan dipasaran.

Maka ujudlah berbagai bentuk perniagaan dalam pendidikan anak-anak, untuk mencapai kejayaan, kononnya..

Pada ibubapa yang berduit, ok no problem, semua boleh. Bagaimana pula dengan ibubapa yang hidup hanya mampu untuk menyuap mulut anak-anak mereka…. Apakah nanti anak-anak mereka ketinggalan dalam pelajaran dan hanya lulus sekadarnya aje, atau gagal dalam peperiksaan?

Kini harapan melampau ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan. Ibubapa juga turut tertekan, kerana apa ya?

Pada sebahagian kita, akan berasa, seperti ini; Malu aku! kalau keputusan anak aku tidak menggalakkan langsung. Mana nak taruk muka ni, apa orang akan kata.. dan perasaan akan berasa bercampur-campur…. Begitulah persepsi masyarakat masa kini.

Kenapa jadi begini???

Kementerian Pendidikan?, sekolah? Guru-guru?, anak aku? Tak cukup kelas tambahan? Tak cukup kasih sayang ke? Dan berbagai-bagai fikiran yang datang. Cuma satu persoalan yang jarang ditanya…

Bagaimana dengan aku??? , “bersihkah aku”

Jawapannya tentu sekali begini; dah cukup aku memberi pendidikan kepada anak ku, kenapa tak pandaipandai ya? Hah tak mungkin, aku lulusan university, aku memang pandai dari kecil, pastinya anak aku begitu juga.
Sekolah? Dan guru? Tak mungkin, aku dah hantar mereka ke sekolah yang terbaik, ditambah kelas tambahan dari guru-guru ternama. Bagaimana mungkin?... Habiskan duit aku je.

Habis tu apa lagi…???

Aku sendiri pun tak tahu nak jawab, Cuma apa yang dapat aku agak-agak hanyalah ini. Tapi ini hanya pandangan aku je,

1. Emosi atau jiwa anak itu sendiri, adakah ibubapa betul2 mengenali anak-anak mereka?
2. Segala sumber, bersih dari segala kekotoran
3. Keikhlasan ibubapa
4. Objektif ibubapa
5. Hanya kerana Mu
Ya Allah ya tuhan ku, berikan kami pentunjuk Mu, agar kami tidak tersasar dan tersesat ditengah perjalanan hidup ini.
Amin…..

Wednesday, June 2, 2010

Ibu, Bapa & Taska

Anak adalah anugerah dari tuhan kepada pasangan suami isteri. Apabila anugerah ini diberi maka pasangan tersebut akan mendapat gelaran ibu dan bapa. Maka terbebanlah ibubapa itu akan tugasnya untuk mengasuh, mendidik dan membesarkan anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna. Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini mungkin sama besar tekanannya, dan dalam sesetengah keadaan, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa.

Dalam ekonomi yang mencabar pada hari ini, keluarga yang mana kedua-dua suami isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa. Di sinilah punca masalah. Beban kerja yang berat dan gaya hidup yang penuh tekanan menyebabkan ibu bapa ini sering pulang dalam keadaan yang amat letih dan tidak punya banyak masa untuk dihabiskan secara berfaedah dengan anak-anak.

Tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan di musim hujan?! Pilihan adalah kepada ibubapa. Pertimbangan yang betul perlu diambil, sama ada mahukan pembantu rumah atau menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak.

Memilih pembantu rumah, dengan kos antara Rm 4000 – Rm 6000. Gaji bulanan antara Rm 500 keatas, anak-anak ada yang menjaga, kerja rumah beres, masa balik kerja tidak berkejar-kejar, mungkin makanan pun siap dimasak, dapat berehat….. Betulkah begitu. Ada bukan tak ada, bergantung rezki juga…..


Menghantar anak ke Taska pula, (pastikan berlesen) anak terurus dengan jadual aktiviti harian, bulanan, mengikut lokasi, antara Rm 200 – Rm 500. Anak-anak terdedah dengan aktiviti pembelajaran, seperti perkembangan social, emosi, bahasa, awal matematik dan sains dan sebagainya, mengikut kurikulum taska berkenaan.

Sebenarnya pada pendapat saya ia sangat bagus untuk perkembangan kanak-kanak, Cuma kosnya mungkin tinggi bagi keluarga yang mempunyai anak yang ramai jika dibandingkan dengan mengambil pembantu rumah. Terpulanglah kepada ibubapa tersebut membuat pilihan.

Namun dengan jumlah anak-anak yang ramai di sesebuah pusat asuhan, tumpuan sudah tentunya tidak dapat diberikan sepenuhnya oleh pengasuh kepada anak-anak. Maka disini timbul ketidakpuasan hati para ibubapa. Yang kadangkala hingga mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati para pengasuh. Kanak-kanak tidak bersalah. Pengasuh professional mungkin boleh menerima cemuhan dengan hati terbuka dan memahami, tapi mereka juga mempunyai perasaan. Mugkin juga terguris, akibatnya………



Seelok-eloknya ibubapa dan pengasuh hendaklah bekerja sama dalam pendidikan kanak-kanak. Saling bertukar pandangan dan berikhtiar untuk membimbing kanak-kanak.

Monday, March 29, 2010

Bacalah.......

Literasi adalah hak semua kanak-kanak . Ia bukan suatu anugerah kepada kanak-kanak tertentu saja. Tiada seorang pun kanak-kanak yang lahir-lahir sahaja terus pandai menulis dan membaca. Ia adalah hak kanak-kanak yang harus diberi oleh ibu dan bapanya.

Bahasa adalah cara berkomunikasi. Melalui bahasa kita dapat berkata-kata dan mengajar anak-anak kita. Melalui bahasalah kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekeliling mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.

Apa yang perlu kita lakukan ialah menggalakkan anak-anak ini dengan mula berbicara secara perlahan-lahan dengan mereka dan tidak berharap terlalu banyak. Bermula dengan dua atau tiga kata dasar seperti ‘kami’, ‘dan’, ‘yang’ dan lain-lain.

Sebagai permulaannya ibu atau bapa buatlah beberapa keping kad (flash card) yang mempunyai perkataan dan tunjukkan kepada anak anda. Bermainlah kad tunjuk ini bersama mereka seperti main sorok-sorok . Sambil mengeluarkan kad, sebut perkataan yang tertulis dan tunjukkan kepada mereka. Buatlah berulang kali dan berhari-hari, lihat apa akan berlaku.

Lama kelamaan mereka akan memahami dan akan menyebutnya kita tambahkan satu atau dua perkataan lagi dan seterusnya. Ini adalah salah satu cara mudah bagi mereka untuk belajar membaca kata-kata yang lebih sukar di kemudian hari. Ini dapat menjadi penggalak kepada minat membaca anak-anak kita.

Oleh itu ibu bapa perlu menanam rasa cinta kepada buku dan seharusnya ia bermula sejak kecil. Ibu bapa yang punya tabiat suka membaca juga penting sebagai tauladan kepada anak-anak.

Jika anak anda tidak menunjukkan minat, jangan bimbang tentang hal itu. Fokus pada abjad bergambar sambil menyanyi lagu abjad dan tunjukan kad-kad abjad yang berkaitan Kemudian baru masuk kad perkataan. Cubalah berbagai cara yang dapat menarik minat anak itu dan perlahan-lahan mula memperkenalkan buku-buku bergambar kepada anak-anak kita.

Puji-pujian akan dapat menarik mereka atas semua percubaan mereka, Ia dapat memadamkan kekecewaan jika mereka gagal. Membaca adalah sesuatu yang harus dinikmati dan merupakan kemahiran yang anak anda perlu untuk seumur hidup mereka.

Anda dapat membantu memperkembangkan minat membaca yang berkemampuan untuk membuat anak menjadi penulis dan petah berkata-kata.