Monday, March 29, 2010

Bacalah.......

Literasi adalah hak semua kanak-kanak . Ia bukan suatu anugerah kepada kanak-kanak tertentu saja. Tiada seorang pun kanak-kanak yang lahir-lahir sahaja terus pandai menulis dan membaca. Ia adalah hak kanak-kanak yang harus diberi oleh ibu dan bapanya.

Bahasa adalah cara berkomunikasi. Melalui bahasa kita dapat berkata-kata dan mengajar anak-anak kita. Melalui bahasalah kanak-kanak dapat berhubung dengan orang di sekeliling mereka bagi menyatakan perasaan, keperluan dan idea.

Apa yang perlu kita lakukan ialah menggalakkan anak-anak ini dengan mula berbicara secara perlahan-lahan dengan mereka dan tidak berharap terlalu banyak. Bermula dengan dua atau tiga kata dasar seperti ‘kami’, ‘dan’, ‘yang’ dan lain-lain.

Sebagai permulaannya ibu atau bapa buatlah beberapa keping kad (flash card) yang mempunyai perkataan dan tunjukkan kepada anak anda. Bermainlah kad tunjuk ini bersama mereka seperti main sorok-sorok . Sambil mengeluarkan kad, sebut perkataan yang tertulis dan tunjukkan kepada mereka. Buatlah berulang kali dan berhari-hari, lihat apa akan berlaku.

Lama kelamaan mereka akan memahami dan akan menyebutnya kita tambahkan satu atau dua perkataan lagi dan seterusnya. Ini adalah salah satu cara mudah bagi mereka untuk belajar membaca kata-kata yang lebih sukar di kemudian hari. Ini dapat menjadi penggalak kepada minat membaca anak-anak kita.

Oleh itu ibu bapa perlu menanam rasa cinta kepada buku dan seharusnya ia bermula sejak kecil. Ibu bapa yang punya tabiat suka membaca juga penting sebagai tauladan kepada anak-anak.

Jika anak anda tidak menunjukkan minat, jangan bimbang tentang hal itu. Fokus pada abjad bergambar sambil menyanyi lagu abjad dan tunjukan kad-kad abjad yang berkaitan Kemudian baru masuk kad perkataan. Cubalah berbagai cara yang dapat menarik minat anak itu dan perlahan-lahan mula memperkenalkan buku-buku bergambar kepada anak-anak kita.

Puji-pujian akan dapat menarik mereka atas semua percubaan mereka, Ia dapat memadamkan kekecewaan jika mereka gagal. Membaca adalah sesuatu yang harus dinikmati dan merupakan kemahiran yang anak anda perlu untuk seumur hidup mereka.

Anda dapat membantu memperkembangkan minat membaca yang berkemampuan untuk membuat anak menjadi penulis dan petah berkata-kata.

No comments:

Post a Comment