Wednesday, June 2, 2010

Ibu, Bapa & Taska

Anak adalah anugerah dari tuhan kepada pasangan suami isteri. Apabila anugerah ini diberi maka pasangan tersebut akan mendapat gelaran ibu dan bapa. Maka terbebanlah ibubapa itu akan tugasnya untuk mengasuh, mendidik dan membesarkan anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna. Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini mungkin sama besar tekanannya, dan dalam sesetengah keadaan, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa.

Dalam ekonomi yang mencabar pada hari ini, keluarga yang mana kedua-dua suami isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa. Di sinilah punca masalah. Beban kerja yang berat dan gaya hidup yang penuh tekanan menyebabkan ibu bapa ini sering pulang dalam keadaan yang amat letih dan tidak punya banyak masa untuk dihabiskan secara berfaedah dengan anak-anak.

Tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan di musim hujan?! Pilihan adalah kepada ibubapa. Pertimbangan yang betul perlu diambil, sama ada mahukan pembantu rumah atau menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak.

Memilih pembantu rumah, dengan kos antara Rm 4000 – Rm 6000. Gaji bulanan antara Rm 500 keatas, anak-anak ada yang menjaga, kerja rumah beres, masa balik kerja tidak berkejar-kejar, mungkin makanan pun siap dimasak, dapat berehat….. Betulkah begitu. Ada bukan tak ada, bergantung rezki juga…..


Menghantar anak ke Taska pula, (pastikan berlesen) anak terurus dengan jadual aktiviti harian, bulanan, mengikut lokasi, antara Rm 200 – Rm 500. Anak-anak terdedah dengan aktiviti pembelajaran, seperti perkembangan social, emosi, bahasa, awal matematik dan sains dan sebagainya, mengikut kurikulum taska berkenaan.

Sebenarnya pada pendapat saya ia sangat bagus untuk perkembangan kanak-kanak, Cuma kosnya mungkin tinggi bagi keluarga yang mempunyai anak yang ramai jika dibandingkan dengan mengambil pembantu rumah. Terpulanglah kepada ibubapa tersebut membuat pilihan.

Namun dengan jumlah anak-anak yang ramai di sesebuah pusat asuhan, tumpuan sudah tentunya tidak dapat diberikan sepenuhnya oleh pengasuh kepada anak-anak. Maka disini timbul ketidakpuasan hati para ibubapa. Yang kadangkala hingga mengeluarkan kata-kata yang menyinggung hati para pengasuh. Kanak-kanak tidak bersalah. Pengasuh professional mungkin boleh menerima cemuhan dengan hati terbuka dan memahami, tapi mereka juga mempunyai perasaan. Mugkin juga terguris, akibatnya………



Seelok-eloknya ibubapa dan pengasuh hendaklah bekerja sama dalam pendidikan kanak-kanak. Saling bertukar pandangan dan berikhtiar untuk membimbing kanak-kanak.