Wednesday, September 30, 2009

Kedegilan kanak-kanak

Sifat degil adalah salah satu masalah kepada ibu bapa terhadap kanak-kanak. Sefat degil ini bermula seawal kanak-kanak menjejaki umur dua tahun dan akan dibawa hingga ke remajanya.
Antara sebab kanak-kanak menjadi degil ialah:


1. Disiplin yang longgar dan tidak tetap, sesekali keras dan berlembut pada kanak-kanak.
2. Ibu dan bapa dengan cara masing-masing dalam mendidik anak-anak menjadikan kanak-kanak keliru.
3. Kanak-kanak yang keras hati, yang menghendaki perhatian, letih, lapar atau yang terganggu jiwanya.
4. Kanak-kanak yang tidak dihargai dan jarang mendapat pujian atas apa kebaikan yang telah dilakukan.
5. Ibubapa yang tidak menghormati perasaan kanak-kanak yang akhirnya kanak-kanak juga bertindak balas dengan tidak mengendahkan ibubapa.


Antara cara-cara bagi mengatasinya:
1. Dengan membina keakraban melalui masa yang ada atau masa yang berkualiti dan sentiasa ada bila diperlukan .
2. Menjadi contoh yang baik terhadap kanak-kanak dengan bersikap yang positif.
3. Beri mereka kuasa memilih jika dapat, seperti contoh; Tanya kepada mereka, hendak menyimpan buku dalam almari dahulu atau menyimpan mainan dahalu.
4. Jangan terlalu banyak undang-undang.
5. Beri amaran sebelum menguatkuasa undang-undang, seperti; Lagi lima minit kamu semua hendaklah masuk tidur.
6. Sediakan undang-undang mengikut tahap kebolehan kanak-kanak itu.
7. Kenali dan terima perasaan kanak-kanak, seperti dalam kemarahan atau kecewa dalam menurut perintah.
8. Gunakan lebih banyak pujian atau menghargai dalam menggalakkan kanak-kanak berkelakuan positif.
9. Elakkan membebel, mengkritik, mengugut, memalukan dan menjerit terhadap kanak-kanak.


Apa yang harus dilakukan oleh ibubapa bagi menghadapi situasi ini:
1. Bersabar, berkeyakinan dan menghormati kanak-kanak tersebut.
2. Bagi arahan dengan tepat dan sertai dengan contoh-contoh yang positif kepada kanak-kanak.
3. Cari kekuatan dan kebaikannya, dan selalu beri dorongan dan pujian terhadap mereka.
4. Buat carta atas apa kebaikan yang telah dilakukan dan cabarnya untuk menambahkan lagi.
5. Sediakan satu rewards dan penalties yang telah diberitahu kepada anak-anak, seperti jika kamu boleh bermain dengan baik bersama-sama dalam tempuh dua jam ini, mama akan bawa kamu makan-makan diluar, atau, jika kamu tidak dapat menghabiskan kerja rumah itu, kamu tidak dibenarkan menonton TV hingga ke malam.




Kanak-kanak patut dihargai dan dirai, agar emosi mereka sentiasa riang. Ia dapat membentuk personality kanak-kanak tersebut. Salah satu caranya nya ialah mengadakan sambutan hari lahir dan memberi hadiah kepada mereka.
Lihat gambar diatas, Hakimi dan Hakim dirayai pada pagi semalam. Mulanya datang dengan lagu sedihnya, akhirnya Berjaya dipujuk kerana ingin memotong kek itu. Hakim pula datang kesekolah asyik nak tidor aje, akhir dia juga Berjaya dipujuk untuk meniup lilin yang banyak itu.
Adakah ini boleh dianggap sebagai sebagai reward?????




Friday, September 18, 2009

AKU

Kira-kira 52 tahun lalu, dalam kesibukan yang masih terasa menyambut kemerdekaan yang pertama, ditarikh hari ini, lahirlah bayi perempuan ini.
Kira-kira lapan belas tahun kemudian, berhijrah ke Kuala Lumpur , menjadi penjawat awam disalah sebuah institusi penyelidikan.
Bertemu dengan jejaka pilihan dan mendirikan rumah tangga enam tahun kemudian. Setahun kemudian mendapat cahaya mata pertama.






Dalam masa sepuluh tahun mempunyai empat cahaya mata. Dalam usia lima puluh tahun telah mendapat menantu dan setahun kemudian telah bergelar Wan (nenek). Itulah dia “Akubarutahu” atau lebih tepat Norhanam Sulong.


Kini aku baru tahu, dan belajar ambil tahu kehidupan seorang nenek, dan bersedia menjadi warga emas dalam masa lapan tahun lagi (jika umur panjang, Insya Allah) supaya aku bersedia.

Itulah namanya sebuah kehidupan. Empat generasi terukir menjadi kenangan untuk tatapan generasi kemudian. Tanggung jawab kita kini adalah membentuk generasi akan datang. Kehidupan kini yang mencabar, mampukah kita membentuk anak-anak kita lebih baik dari kita? Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita... Amin....





Monday, September 14, 2009

Ramadhan

Kini telah masuk ke fasa ketiga dalam bulan Ramadhan. Telah lebih dua puluh hari kita mengerjakan ibadah puasa. Dah ramai yang dah kurus atau masih ramai lagi yang maintain. Tapi apa yang penting apabila sesuatu itu melebihi dua puluh satu hari, ia telah menjadi satu kebiasan kepada kita.
Ia juga telah menjadi satu kebiasaan kepada kanak-kanak yang telah berpuasa sejak dari hari pertama puasa. Pada mereka tidak merasa satu masalah lagi. Di sini kanak-kanak yang berumur enam tahun keatas semuanya berpuasa. Tiada siapa pun diantara mereka yang merengek kelaparan. Begitu juga bila melihat adik-adik yang kecil makan, mereka juga tidak meminta hendak makan bersama. Semoga sikap ini berkekalan hingga ke dewasa.

Apa yang lebih penting kepada kanak-kanak ini ialah pemahaman mereka berkenaan berpuasa. Berpuasa adalah rukun Islam yang ke tiga. Didiklah anak-anak supaya mereka juga menunaikan rukun Islam kedua, iaitu solat. Beri mereka kefahaman bahawa rukun Islam yang pertama ialah mengucap dua kalimah shahadah. Apabila seseorang muslim itu telah mengucap dua kalimah syahadah, bermakna dia telah bersetuju menunaikan segala yang diperintahkan oleh Allah untuk umat Muhammad. Maka, menunaikan solat itu adalah rukun yang kedua yang harus ditunaikan. Dan kemudian diikuti dengan menunai ibadah puasa. Tidak guna menahan lapar dan dahaga, tanpa menunaikan solat. Semoga anak-anak kita berjaya menamatkan puasa mereka dibulan ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi dengan jayanya. Semoga mereka menjadi orang-orang yang beriman dan dilindungi Allah. Amin….

Friday, September 4, 2009

Disiplin

Untuk mencapai sesuatu kejayaan, disiplin menjadi teras yang penting.Tanpa disiplin, kejayaan juga sukar untuk dinikmati. Kita selalu mendengar, bahawa anak-anak yang cemerlang itu adalah mereka yang berdisiplin. Tapi bagaimana kita hendak mendisiplinkan anak-anak kita itu?
Sebagai ibu bapa, kita tanya diri kita sendiri, adakah kita seorang yang berdisiplin? Adakah kita menjaga masa kita dengan penuh disiplin, bagaimana dengan peraturan pejabat, adakah kita mengikuti dengan penuh disiplin? Lihat pula cara kita makan, memandu dan yang penting sekali, solat kita, bagaimana?
Anak-anak yang cemerlang bukannya lahir daripada ibu bapa yang cemerlang. Mereka adalah hasil usaha ibu bapa yang prihatin terhadap kepentingan disiplin. Perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa tidak selari dengan apa yang dikehendaki terhadap anak-anaknya. Anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu peraturan mana yang yang harus diikuti. Sikap ibu bapa menjadi contoh kepada kanak-kanak.

Bagi melahirkan anak-anak yang berdisiplin ibu bapa mesti terlebih dahulu berdisiplin. Disiplin penting untuk membina sikap hormat pada diri sendiri dan juga orang lain. Apa yang penting ialah tanggung jawab ibu bapa untuk membimbing anak-anak untuk menjadi anak-anak yang cemerlang di dunia dan diakhirat. Fikirkan lah…….